Powered by Blogger.

Selebriti Ditaja Kerabat Raja

Entah kenapa sejak penyandang gelaran naib juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan ini menceburi bidang seni, namanya cukup sinonim dengan kontroversi. 
Gadis kelahiran Ranau, Sabah yang menggunakan nama pentas Adira ini sering dikaitkan dengan lelaki. Bukan seorang dua jejaka pernah dikaitkan dengan gadis putih melepak ini. 
Selepas hubungan bersama rakan seperjuangan, Hafiz kecundang di tengah jalan, anak bongsu daripada lapan beradik ini dikatakan menjalin hubungan istimewa dengan AG Coco. Ini diikuti Alif Aziz hingga dia dituduh punca hubungan penyanyi kelahiran Singapura itu dengan kekasihnya, Anne Ngasri putus di tengah jalan. 

Khabar terbaru yang sedang bertiup kencang mendakwa kononnya Adira menjalin hubungan dengan lelaki lain pula. Kononnya, ada mata yang melihat dia menikmati makan malam di sebuah restoran di kawasan ‘segi tiga emas’ Kuala Lumpur bersama seorang jejaka tidak dikenali. 
Pasangan ini dikatakan tidak segan silu memaparkan aksi mesra. Namun, kehadiran mereka ke restoran terbabit dikatakan dikawal dua jejaka lengkap bersut. Lagak jejaka di samping Adira itu dikatakan bukan orang biasa, sebaliknya persis individu berkedudukan tinggi. 
Ketika diaju pertanyaan kepada tuan punya diri, seperti biasa, tiada jawapan pasti diberi penyanyi ini. Malah Adira menyoal kembali kenapa tiada yang tampil menegurnya jika benar ada yang melihatnya seperti didakwa. 
“Pelik kenapa tidak ada yang menegur jika benar mereka melihat saya. Kenapa lebih senang membuat spekulasi? Tolonglah jangan buat tuduhan tanpa usul periksa, mungkin jejaka itu abang atau sepupu saya. 
“Saya seorang yang manja dan memang suka bersikap begitu terutama dengan keluarga terdekat. Mungkin juga ketika itu saya sedang berbincang mengenai urusan perniagaan dengan pemilik produk tertentu,” jelas Adira. 
Ketika ditanya kembali adakah jejaka itu golongan kerabat memandangkan mereka dikawal ketat dua ‘bodyguard’. Adira enggan mengulas perkara itu. 
“Kalau boleh saya tidak mahu komen perkara berbaur peribadi. Tapi saya hanya boleh jelaskan yang saya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan golongan kerabat. Setahu saya, saya tidak pernah keluar dengan dikawal ketat pengawal peribadi,” jawab Adira lagi. 
Sejak melangkah ke dunia seni, memang tidak dinafikan gadis ini tidak sunyi daripada gosip. Lepas satu demi satu sehingga membuatkan hatinya semakin kebal. 
Ujar Adira, dia sudah lali dengan gosip sejak mula melangkah ke dunia seni. Menyedari dirinya milik masyarakat, Adira menelan setiap tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Namun, dia hanyalah manusia biasa, ada hati dan perasaan. Ada kalanya, dia mengakui tewas dengan pelbagai tuduhan tidak berasas. 
“Gosip mengajar saya menjadi lebih dewasa. Tapi ada kala tertekan juga dengan gosip melampau. Apa yang penting bagi saya adalah sokongan keluarga dan peminat. Keluarga faham kedudukan saya sebagai artis, jadi mereka tidak mudah melatah. 
“Sebolehnya saya akan cuba untuk tidak melayan sebarang gosip kerana bagi saya perkara itu hanya boleh menjatuhkan semangat saya,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Followers