Rumah Erra Fazira Dipecah Masuk
KUALA LUMPUR – Rumah pelakon dan
penyanyi Erra Fazira di Damansara telah dipecah masuk oleh dua lelaki
yang tidak dikenali dipercayai mahu mencuri kereta pada tengah hari
Isnin.
Menurut Erra menerusi laporan akhbar
Harian Metro, kejadian berlaku apabila Erra, anaknya, Engku Aleesya dan
pembantu rumahnya tiada di rumah kerana menghantar anak ke sekolah.
“Kami keluar dari rumah pada pukul 1
tengah hari, bagaimanapun 45 minit kemudian, saya dihubungi jiran
memberitahu rumah saya dipecah masuk.
“Saya terkejut dan lantas berpatah balik
ke rumah. Namun ketika itu pencuri terbabit sudah melarikan diri,
tetapi menurut jiran saya, kebetulan ketika itu ada sebuah kereta
peronda yang melalui kawasan berkenaan.
“Peronda mengejar pencuri yang juga
memandu kereta sehingga melanggar beberapa kereta yang diletakkan di
hadapan rumah di kejiranan itu,” katanya.
Menurut pengacara program Primadona ini, perasaan traumanya masih terasa dan membuatnya terfikir untuk berpindah ke rumah lain.
“Saya pun tidak tahu bagaimana mereka
(pencuri) boleh masuk dalam kawasan rumah saya, tetapi menurut jiran,
pintu pagar automatik rumah saya itu sudah terbuka. Difahamkan mereka
umpilkan pintu pagar itu.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana
kejadian berlaku ketika kami tiada di rumah, kalau tidak entah apa yang
mungkin terjadi,” ujarnya
0 comments:
Post a Comment