Powered by Blogger.

Nicol Tumpas.

BADI gelanggang kaca di tanah air sendiri terus menghantui ratu skuasy negara, Datuk Nicol David.
Lebih mengejutkan, Nicol gagal meraih gelaran juara buat kali kesembilan pada Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur-CIMB 2013 apabila tumpas 12-10, 6-11, 8-11, 11-5 kepada pemain pilihan ketiga, Laura Massaro dari England di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur semalam.
“Sangat mengecewakan, terutamanya apabila tewas sekali lagi di venue dan di hadapan peminat sendiri. Bagaimanapun, saya sudah melakukan yang terbaik,” kata Nicol selepas bermain selama 67 minit di gelanggang kaca itu.
“Massaro seorang pemain yang hebat dan saya tidak akan mengambil masa yang lama untuk menebus kekalahan ini.
Massaro menewaskan juara dunia tujuh kali itu sebanyak dua kali iaitu pada aksi final Cleveland Classsic 2011 dan separuh akhir Terbuka Singapura pada tahun yang sama.
Nicol juga menafikan yang tumpuannya dalam gelanggang terganggu sejak dia dilantik sebagai duta skuasy ke Sukan Olimpik 2020.
“Langsung tidak terganggu, malah latihan dan penyertaan saya pada kejohanan berjalan seperti biasa.
“Apa yang berlaku hari ini (semalam) adalah Massaro terlebih dahulu mendapat rentak permainan dan itu memberi kelebihan kepadanya untuk menguasai gelanggang,” ulas pemain kelahiran Pulau Pinang itu.
“Pukulan dan lantunan bola yang dilakukan Massaro sangat tajam dan kemas. Saya sendiri mengakui yang tumpuan saya sedikit meningkat dan menurun kerana mahu mengejar kedudukan mata serta menyesuaikan diri.”
Nicol bermula cemerlang pada set pertama meskipun Massaro mendahului 3-1 sebelum lawannya itu memimpin set kedua 4-0, sekali gus menamatkan permainan dengan catatan 11-6.
“Saya tidak akan putus asa dengan kekalahan ini dan aksi seterusnya di Terbuka Britain, saya akan lakukan dengan lebih baik,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Followers