Powered by Blogger.

Najib Bayangkan Pertahan Kerusi Parlimen Pekan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membayangkan beliau akan mempertahan kerusi Parlimen Pekan pada pilihan raya umum kali ini.
“Saya tidak pernah bermimpi untuk tinggalkan Pekan. Hidup dan mati perjuangan politik saya ialah di Pekan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berasingan Majlis Tertinggi UMNO dan Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini Khamis.
Najib membuat kenyataan ini semasa diminta mengulas pengumuman Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim Rabu bahawa beliau tidak akan mempertahan kerusi Parlimen Permatang Pauh kerana beliau akan bertanding di Perak.
Najib menjadi anggota Parlimen Pekan pada 1976 selepas bapanya, perdana menteri kedua dan anggota Parlimen Pekan, Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.
Sejak itu Najib kekal menjadi wakil rakyat kawasan itu kecuali semasa beliau menjadi Menteri Besar Pahang antara 1982 dan 1986. Ketika itu beliau mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri Bandar Pekan.
Najib berkata hasrat Anwar untuk berpindah bertanding di Perak menunjukkan beliau tidak (lagi) berasa selamat di Permatang Pauh.
Katanya, Anwar meninggalkan penduduk yang telah menyokong beliau sekian lama sejak Anwar menceburi bidang politik.
“Saya rasa beliau tidak berasa selamat di Permatang Pauh…,” katanya.
Najib berkata rakyat patut sedar bahawa jika Anwar boleh meninggalkan penyokongnya di Permatang Pauh, pada masa akan datang, beliau boleh mengetepikan pengundi di kawasan pilihan raya baharunya pula.
“Ia mengenai kesetiaan mereka yang menyokong anda, ini penting dalam politik. Dari segi prinsipnya yang penting. Bukan semata-mata mengenai kemenangan,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Followers