CALON BN DALAM SARINGAN AKHIR, PERLU JALANI PEMERIKSAAN KESIHATAN
PUTRAJAYA - Calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding dalam
pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan diumumkan dalam tempoh tujuh hingga
10 hari sebelum hari penamaan calon, kata Setiausaha Agung BN Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.
"Ketua-ketua perhubungan negeri akan menyerahkan watikah pelantikan
kepada calon-calon. Kita harap ia dapat dilaksanakan dalam seminggu
hingga 10 hari sebelum hari penamaan calon," katanya kepada pemberita
selepas acara 'Kayuhan Patriotik 1Malaysia@ Putrajaya' di sini.
Tengku Adnan berkata senarai calon BN kini dalam saringan terakhir
termasuk pemeriksaan kesihatan, institusi kewangan, Polis Diraja
Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan
Jabatan Insolvensi.
"Sekiranya mereka sudah mendapat laporan kesihatan mereka enam bulan
lepas, mereka boleh hantar kepada kami, sekiranya belum, mereka perlu
menjalani pemeriksaan kesihatan," katanya.
Tengku Adnan berkata BN sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya
kali ini dan hanya menanti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan
tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian.
Beliau berkata Najib akan mempengerusikan mesyuarat khas Majlis
Tertinggi Umno pada 9 pagi esok dan selepas itu mesyuarat khas Dewan
Tertinggi BN pada 11 pagi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala
Lumpur.
"Kita akan melancarkan manifesto BN pada Sabtu ini di Stadium Tertutup Bukit Jalil, Kuala Lumpur," katanya. -
0 comments:
Post a Comment