Anwar - From PENANG To PERAK with Love..!!! Apa gunanya Anwar lari ke Perak?
ULASAN Selepas Lim Kit Siang menerpa masuk ke Gelang Patah dalam projek
menawan Johor, kini Anwar Ibrahim pula nampak serius bertandang ke
Perak.
Kenyataan mantan timbalan perdana menteri itu semalam lebih serius berbanding berita beliau ingin meninggalkan Permatang Pauh.
Dulu tokoh PKR itu membayangkan kerusi pilihannya berada di Selangor
atau Perak tetapi semalam Anwar mengesahkan bakal bertanding di Perak.
Maka bermula spekulasi kerusi parlimen manakah yang dihajatinya dan kenapa perlu beliau menapak ke negeri tersebut.
Di satu sisi, perpindahan Lim dan Anwar membayangkan Pakatan Rakyat
benar-benar serius melebarkan sayap pengaruhnya melalui langkah taktikal
di luar jangka di saat-saat akhir.
Di satu sisi lain, ia juga melambangkan persaingan tersembunyi antara Lim dengan ketua pembangkang.
Jika tokoh DAP itu sanggup mempertaruhkan nasib di kerusi tersebut dalam
usaha memantapkan sokongan Cina, kenapa tidak Anwar terjun ke Perak
untuk mengaut undi Melayu.
Bukan sahaja untuk projek menawan Putrajaya tetapi juga untuk mengasak
Perak agar negeri itu betul-betul bersauh dalam lautan sokongan Pakatan.
Jika sahih beliau bergerak ke Perak, Anwar tidak hanya ingin mencari
undi dalam konteks persaingan politik pilihan raya. Beliau memang
berhasrat mencapai beberapa matlamat khusus dengan satu langkah taktikal
itu.
Antaranya, kehadiran beliau mengukuhkan semula imej kepimpinan PKR di
Perak yang selama ini nampak lemah, bercelaru atau tidak menonjol.
Kepimpinannya ini bukan sahaja untuk mengejutkan Umno atau BN tetapi
juga membariskan kembali parti tersebut setanding dengan
sekutu-sekutunya, DAP dan PKR, khususnya di Perak.
Selain pembakar semangat jentera parti, dengan kehadiran fizikal Anwar
di negeri itu, PKR akan dipayungi satu tokoh besar Melayu yang berupaya
mengimbangi DAP dan sekali gus "mencuri" undi penyokong-penyokong
tradisi Umno.
Dalam konteks feudalisme pengundi Melayu, ketokohan dan karisma Anwar
diharap-harapkan meluaskan jaringan pengaruh parti baru itu dengan lebih
pantas.
Apatah lagi PKR, dan Anwar juga, bermain politik bukan dalam konteks organisasi massa berstruktur ketat seumpama PAS atau Umno.
Tidak jauh bezanya dengan hubungan DAP dan pengundi Cina di kota-kota,
PKR sejak awal penubuhannya banyak bermain atas sokongan popular
sentimen awam dalam isu panas di media bersama karisma
pemimpin-pemimpinnya.
Dalam bahasa mudah, pangkalan sokongan PKR jauh lebih besar daripada jumlah keahliannya dan struktur rasmi parti.
Mereka ini "orang PKR" tetapi bukan ahli parti dan mereka berada di
mana-mana sahaja bersandarkan kehangatan isu, publisiti media dan
populariti pemimpinnya.
Mereka tidak perlukan struktur atau indoktrinasi parti tetapi sedia
bersama parti selagi sandaran-sandarannya itu sentiasa hangat dan
menggelegak.
Salah satu ukuran pangkalan kuasa ini dapat dinilai daripada jumlah undi
yang diperolehi berbanding ahli rasmi dan jentera parti.
Berada terus-menerus dalam liputan media, seperti yang dilalui Anwar, akan menghidupkan jaringan pangkalan kuasa ini.
Namun atas sifatnya yang bebas dan longgar, pangkalan ini perlu tokoh besar sebagai pembangkit cas elektrostatik.
Dalam situasi seumpama ini, kehadiran Anwar diharap-harapkan akan dapat
menangkis gejala lompat parti yang serius di negeri tersebut sehingga
kerajaan Pakatan tumbang pada awal 2009.
Insiden ini, dan siri lompat parti kemudiannya, cukup memalukan Anwar di
depan mata awam serta Pakatan sehingga tertonjol PKR "tidak serius"
menyongsong idealisme perjuangannya.
Pendek kata Anwar berharap beliau dapat meraih beberapa manfaat besar di
Perak dengan mengambil risiko baru berbanding terus berlubuk di kerusi
tradisinya sejak 1982.
Risiko inilah yang sedang ditimbang-timbangkan Anwar dan PKR. Sehingga
pagi ini, parti tersebut belum sedia mengesahkan kerusinya seperti juga
kedudukan Wan Azizah Wan Ismail yang kekal tanda tanya di Selangor.
Berbanding gelombang anti-BN pada 2008, pilihan raya umum kali ini hadir bersama risiko lain.
Tiga daripadanya -- kontroversi peribadi Anwar, prestasi negeri-negeri
Pakatan dan dominasi "Cina" dalam kerjasama itu bersama isu-isu kaum dan
agama yang membelah Melayu di satu sisi serta bukan Melayu di sisi
lain.
Pengundi Pakatan lima tahun lalu, khususnya yang tidak tegar, tentu
mengambil kira tiga faktor ini dalam pertimbangan undi mereka.
Sama ada ia wajar atau tidak, diselewengkan atau sebaliknya, pemaparan
buruk tiga isu ini di media-media arus perdana tentu berbekas di fikiran
pengundi, khususnya Melayu, sasaran yang ingin dibujuk Anwar dalam
pakej perpindahannya ke Perak.
Namun, Pulau Pinang sendiri bukanlah negeri yang sudah selesai. Ia
datang bersama sejumlah tanggapan dan masalahnya sendiri -- satu tarikan
lain yang menyukarkan Anwar menerpa ke Perak semudah Lim terjun ke
Johor.
0 comments:
Post a Comment