Tak Sampai Sejuta Rakyat Malaysia Di Luar Negara Daftar Sebagai Pengundi
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini
menyangkal dakwaan segelintir pihak kononnya rakyat Malaysia di luar
negara tidak diberi peluang untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU)
ke-13.
Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata dakwaan itu tidak
berasas sama sekali kerana Akta Pilihan Raya 1958 telahpun dipinda bagi
membolehkan mereka mendaftar sebagai pemilih.
"Saya dapat tahu ada pihak yang mengatakan berjuta-juta rakyat
Malaysia di luar negara tidak dihiraukan dan menjadi mangsa pada sistem
pilihan raya kali ini," katanya.
Setakat pagi Jumaat, SPR hanya menerima 5,167 permohonan daripada
rakyat Malaysia di luar negara untuk mengundi melalui pos pada pilihan
raya kali ini, katanya kepada pemberita selepas memberikan taklimat
akhir PRU ke-13 kepada ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan
negeri Selangor di sini.
Mengikut rekod, Abdul Aziz berkata negara paling ramai rakyat
Malaysia mendaftar sebagai pengundi ialah Australia iaitu 1,206 orang
diikuti United Kingdom (871), China (513), Amerika Syarikat (342) dan
Taiwan seramai 183 pengundi.
Peraturan membenarkan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara mengundi secara pos telah diwartakan pada 21 Januari lepas.
Sebelum ini, hanya pelajar sepenuh masa dan penjawat awam dengan pasangan masing-masing dibenarkan mengundi secara pos.
Mengulas tawaran RTM untuk parti politik menyiarkan manifesto
masing-masing selama 10 minit sempena PRU ke-13, Abdul Aziz kecewa
apabila pemimpin pakatan pembangkang menolak tawaran tersebut.
Beliau berkata seharusnya pakatan pembangkang menerima dan meneliti
dahulu keberkesanan pendekatan tersebut sebelum menolak tanpa alasan
yang kukuh.
"Dulu mereka marah SPR sebab kata kita tidak bagi mereka ruang dalam
media tetapi sekarang belum pun cadangan itu dibincang secara terperinci
mereka dah tolak...sepatutnya teliti dulu, jangan terus tolak,"
katanya.
Bagaimanapun, katanya SPR akan bertemu dengan pihak Kementerian
Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan parti-parti politik dalam masa
terdekat bagi membincangkan lebih lanjut mengenai cadangan itu. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment