Powered by Blogger.

DAP TOLAK DIN PUDU - BAKAL KUASAI JOHOR.


DAP sudah lama mengintai Johor ekoran ekonomi yang stabil dan pembangunannya yang mapan, kata bekas Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim.

Justeru tidak hairanlah DAP mula mempertaruhkan ahli politik veterannya, Lim Kit Siang untuk bertanding di Parlimen Gelang Patah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRu13), katanya lagi.

Bagi DAP, Kit Siang mempunyai aura dan pengaruh yang kuat di kalangan masyarakat Cina di bandar.

"Ini bukan sesuatu yang baru. Kalau kita lihat pada perjalanan politik Kit Siang, ini adalah strategi beliau.

"DAP sudah lama sasarkan Johor sejak sekian lama. Mereka rasa Johor sangat penting dari segi pembangunan ekonomi yang stabil dan sebagainya. Kekuatan DAP adalah sokongan dari masyarakat Cina di bandar," katanya kepada Antarapos.

Untuk rekod, Gelang Patah adalah Parlimen ketujuh yang akan diwakili Kit Siang sekiranya menang pada PRU13.

Sebelum ini beliau pernah bertanding di Parlimen Bandar Melaka, Kota Melaka, Petaling Jaya, Tanjong dan yang terakhir adalah Ipoh Timur.

Pada majlis ulang tahun DAP ke-47, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kit Siang akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah, sekaligus meranapkan hasrat PKR Johor untuk turut meletakkan calon di kerusi tersebut.

Bagaimanapun, Anwar berkata setakat ini kerusi tersebut masih milik PKR namun Pakatan Rakyat masih terbuka untuk duduk berbicang mengenai perkara itu.

Kit Siang dalam reaksinya berkata beliau bersedia berdepan dengan apa sahaja risiko termasuk tentangan daripada Ketua PKR Johor Chua Jui Meng.

Jui Meng sebelum ini 'bertikam lidah' dengan Ketua DAP negeri Johor Dr Boo Cheng Hau kerana berebutkan kerusi itu.

Terdahulu, Jui Meng mengumumkan beliau akan bertanding di kerusi itu, yang kini disandang oleh Pengerusi Wanita MCA Johor Tan Ah Eng.

Pada PRU12, Tan menewaskan calon PKR, Zaliha Mustafa dengan majoriti 8,851 undi.

PAS kurang penting dalam Pakatan Rakyat

Dalam pada itu, Tunku Aziz turut mengulas dakwaan yang mengatakan PAS 'kurang penting' dalam Pakatan Rakyat.

Menurutnya PAS hanya diperkudakan oleh PKR dan DAP bagi memperolehi undi daripada masyarakat luar bandar yang menjadi kelebihan bagi PAS.

Katanya ia terbukti apabila Anwar belum mengumumkan calon PAS di Johor walaupun Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub sebelum ini pernah membayangkan untuk pulang bertanding ke negeri kelahirannya itu.

"PAS, walaupun mereka tidak mahu mengaku, tapi mereka sebenarnya adalah peranan yang kurang penting di dalam Pakatan.

"PAS sedar kekuatan mereka tidak boleh masuk dalam urban. Tanpa DAP, mereka tidak dapat menjadi satu parti di peringkat nasional. Mereka hanya akan dapat menawan pengundi di Kelantan dan mungkin di Kedah sahaja," katanya.

Salahuddin antara pemimpin Pakatan Rakyat yang paling awal mengumumkan hasratnya untuk bertanding di kawasan Parlimen di Johor antaranya di Batu Pahat, Pulai dan kampung halamannya di Tanjong Piai.

Ura-ura juga mengatakan Salahuddin bakal dicalonkan sebagai Menteri Besar sekiranya Pakatan Rakyat memperolehi majoriti di Johor.

Bagaimanapun sehingga kini masih tiada sebarang pengumuman rasmi yang dibuat oleh PAS Pusat atau pun Pakatan Rakyat berhubung perkara tersebut.

0 comments:

Post a Comment

Followers