STATUS JANDA BERI PELUANG NABILA BERCUTI KE LUAR NEGARA
Pelakon Nabila Huda mengakui statusnya sebagai ibu tunggal
memudahkan dia mencari ruang masa untuk melakukan aktiviti kegemarannya seperti
bercuti ke luar negara.
Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi, 29,
berkata, dia mula aktif dalam aktiviti tersebut sejak tahun lalu dan pernah
menjelajah ke beberapa tempat antaranya Lombok, Indonesia, Afrika, Pulau
Boracay, Filipina, Rom, Itali serta beberapa lokasi lain.
"Sebenarnya memang daripada dulu lagi saya suka bercuti
dan mengenali masyarakat negara yang dikunjungi itu.
"Untuk kelainan, saya lebih gemar bercuti di
tempat-tempat yang jarang dikunjungi oleh orang Asia dan rasanya saya mula
kembali ligat bercuti sejak awal tahun lalu.
"Keadaan saya yang berstatus “solo” ini juga memudahkan
saya untuk bergerak ke mana-mana tanpa perlu memikirkan perasaan orang lain. Ya
lah, apabila sudah ada teman istimewa, semestinya banyak perkara yang perlu
dijaga agar tiada hati yang terluka," katanya.
Tambah Nabila, buat masa ini dia enggan memikirkan sebarang
perhubungan yang memerlukan komitmen tetapi hanya ingin fokus kepada kerjaya
lakonan, anaknya yang bernama Keisha Laila selain merancang beberapa lokasi
percutian unik pada tahun ini.
Sementara itu, Nabila telah diberi kepercayaan daripada
pereka fesyen terkenal Alia Bustamam bagi memperagakan pakaian rekaan
terbarunya.
"Saya sukakan sesi fotografi dan sekarang ini saya
semakin mendekati dunia fesyen.
"Rasa seronok sangat apabila Alia Bustamam meminta saya
memperagakan koleksi baju-baju rekaannya," ujar Nabila.
Dalam perkembangan lain, lakonan Nabila dapat ditonton
menerusi drama Janji Shirah yang akan di siarkan setiap Ahad (bermula Ahad
lalu), pukul 9 malam di TV3.
Drama 13 episod itu mengisahkan seorang penuntut kolej
bernama Shirah (Nabila) mempunyai seorang teman lelaki bernama Luqman (Airiel
Zafril) di mana lelaki itu turut menjadi idaman teman baiknya, Mira.
Kakak Shirah meninggal dunia akibat penyakit barah otak dan
dia dibebani tanggungjawab menyara tiga anak buahnya.
0 comments:
Post a Comment