Kesalahan ibu bapa didik anak
Setiap ibu bapa mahukan zuriat yang
dapat berbakti kepada mereka pada hari tua kelak. Namun, semakin banyak
didikan yang diberi semakin mereka jauh daripada gelaran ‘anak soleh’.
Bagaimanakah perkara tersebut boleh terjadi? Di manakah silapnya?
Jawapan:
Anak adalah kurniaan ALLAH SWT yang
tiada nilai tandingnya. Betapa beruntung pula ibu bapa yang dikurniakan
zuriat sebagai penyambung dan kekuatan sesebuah rumah tangga.
Anak yang cemerlang tidak hanya terjadi
begitu saja. Ini bergantung sejauh mana kesedaran dan tanggungjawab ibu
bapa dalam mendidik anak. Terdapat kisah dalam al-Quran mengenai Nabi
Ibrahim, Nabi Yaakub dan Nabi Zakaria yang tidak putus berdoa agar
dikurniakan anak yang taat kepada ALLAH SWT.
Demikianlah ibu bapa juga perlu berdoa
agar dikurniakan anak yang soleh dan solehah dan memohon agar tidak
diuji dengan anak derhaka seperti yang dialami Nabi Nuh AS. Hakikatnya,
anak juga menjadi ujian kepada setiap ibu bapa. Dan merekalah yang
berkewajipan untuk mendidik anak agar tidak terjerumus ke lembah
kesesatan dunia dan kemelaratan akhirat.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi
ujian, dan di sisi ALLAH jualah pahala yang besar." (Surah At-Taghabun:
15)
Ada segelintir ibu bapa yang gagal membentuk anak menjadi generasi yang
unggul. Orang yang malang dan gagal dalam ujian ialah mereka yang
mempunyai anak, tetapi tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat.
Kesilapan bagaimanakah dilakukan ibu bapa dalam membentuk anak hingga dikatakan gagal dalam ujian ALLAH ini?
Antara kesilapan dalam mendidik anak adalah seperti berikut:
1. Kurang mengambil perhatian dan
menitikberatkan mengenai berdoa kepada ALLAH SWT. Oleh itu, ibu bapa
digalakkan berdoa agar dikurniakan zuriat yang baik pada saat kehamilan.
Antara amalan doa ketika mengandung adalah memohon rahmat, zuriat yang
baik, mengerjakan solat dan mendoakan ibu bapa apabila tiada di dunia
kelak. Setelah anak dilahirkan, ibu bapa perlu terus lebih banyak berdoa
seiring dengan anak yang semakin membesar.
2. Anak tidak dibesarkan dengan belaian
kasih sayang. Suasana rumah yang tidak aman dan penuh ancaman, hanya
akan membantutkan proses pembelajaran kerana emosi mereka yang tidak
stabil. Diriwayatkan Aisyah RA: "Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium
Al-Hassan dan Al-Husain bin Ali RA. Ketika itu Aqra’ bin Habis
At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra’: “Ya
Rasulullah! Aku mempunyai 10 anak, tetapi aku belum pernah mencium
seorang pun daripada mereka.” Rasulullah melihat kepada Aqra’ kemudian
berkata: “Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.” (Riwayat
Bukhari dan Muslim)
3. Ibu bapa menunjukkan contoh yang
tidak baik di hadapan anak. Sedarilah bahawa, anak akan senang meniru
perbuatan orang yang lebih rapat dengannya, khususnya ibu bapa mereka.
Apabila diperhatikan, anak yang sering bercakap kasar dan menipu lahir
daripada keluarga yang mempunyai tingkah laku yang sama. Selain daripada
itu, ibu bapa turut membenarkan orang yang tidak elok sahsiahnya masuk
ke rumah sama ada dari kalangan sahabat sendiri ataupun anak. Wujudnya
anasir yang tidak baik di dalam rumah akan memberikan contoh yang tidak
baik kepada anak yang sedang meningkat dewasa.
Seeloknya, mereka perlu didedahkan
dengan model yang cemerlang seperti golongan ulama, orang yang berhemah
tinggi dan berakhlak mulia. Mereka juga perlu digalakkan untuk solat
berjemaah, mengikuti kuliah agama dan aktiviti yang bersesuaian dengan
nilai murni Islam.
4. Mendidik anak dengan memberi ancaman dan menakut-nakutkan (tarhib) berbanding penghargaan, pujian dan hadiah (targhib).
5. Tidak tegas dalam mendidik anak. Ibu bapa perlu tegur dan hukum anak
apabila menunjukkan tingkah laku negatif seperti malas atau enggan
melaksanakan perintah ALLAH SWT. Ketegasan juga perlu selari antara ibu
dan bapa supaya anak tidak keliru untuk membentuk tingkah laku yang
betul.
Selain mendidik dengan belaian kasih
sayang, ibu bapa juga perlu memberi amaran dan teguran apabila mereka
melakukan kesalahan dalam tingkah laku. Ibu bapa perlu menggantung rotan
di rumah sebagai amaran kerana merotan mereka dengan tujuan mendidik
(bukan untuk menyakiti) sebagai satu sunnah.
6. Menjadualkan kegiatan harian anak
tanpa menurut kemahuan dan kemampuan mereka. Ibu bapa juga terlalu
memfokuskan sesuatu aktiviti tanpa mengambil kira perasaan dan bakat
yang mereka miliki. Bagi yang mempunyai bakat melukis, mungkin akan
memberontak apabila ibu bapanya memaksa memasuki kelas seni
mempertahankan diri. Kesilapan lebih besar berlaku apabila ibu bapa
tidak memberi pendidikan yang seimbang antara jasmani, rohani, emosi dan
mental. Ini kerana ibu bapa hanya mementingkan kemajuan mental hingga
melahirkan anak yang cerdas tetapi mempunyai akhlak yang buruk.
7. Memaki hamun dan menegur anak dengan
mengeluarkan kata-kata kesat terutama ketika sedang marah. Kesilapan
juga berlaku apabila ibu bapa mendoakan keburukan si anak setiap kali
mereka melakukan perkara yang menyalahi norma. Perbuatan mendoakan
kejelikan anak perlu dielakkan kerana dikhuatiri doa itu akan
dimakbulkan ALLAH.
8. Tidak menghidupkan keluarga yang
sakinah, mawadah dan rahmah. Apabila diperhatikan, walaupun kehidupan
sesebuah keluarga itu terasnya adalah Islam, tetapi gaya hidup yang
dilalui persis orang bukan Islam. Inilah hasilnya apabila hidup yang
tidak bertunjangkan Islam, tidak berteraskan al-Quran dan tidak
berpaksikan hadis. Pastinya hari-hari yang dilalui mereka akan
berterusan tanpa mengamalkan norma dan nilai Islam yang digariskan.
Ibu bapa yang sebegini akan melahirkan
anak yang tidak islamik dan akan menimbulkan pelbagai konflik keluarga
yang akhirnya akan merosakkan masa hadapan anak itu sendiri. Kurang
menghidupkan sunnah di dalam rumah seperti memberi salam, makan bersama,
solat berjemaah dan seumpamanya, hanya membuatkan anak semakin jauh
daripada ibu bapa. Pertengkaran juga akan berlaku antara suami isteri
dalam sebuah rumah tangga yang tidak dirahmati. Keadaan menjadi lebih
keruh lagi apabila pergaduhan berlaku di hadapan anak-anak. Hasilnya,
akan menyebabkan anak berasa tertekan dan membenci kedua ibu bapanya.
9. Tidak mengambil berat kepentingan rumah tangga yang memerlukan
suasana kondusif, bersih, kemas dan teratur. Suasana rumah tangga yang
berselerak dan kotor akibat ibu bapa yang malas dan pengotor hanya akan
melahirkan anak yang pemalas dan selekeh. Rumah tangga yang tidak
kondusif juga akan menutup ruang untuk anak mengembangkan potensi dan
bakat sedia ada.
10. Kurang mengawasi aktiviti anak sama
ada di dalam ataupun di luar rumah. Misalnya, ibu bapa kurang mengawasi
rancangan yang ditonton sama ada melalui pawagam, televisyen, video
ataupun internet, menjadikan peluang untuk mereka terdedah kepada budaya
kuning atau liar menjadi lebih besar.
Ini kerana, rancangan daripada pelbagai
media ini banyak menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan
bebas antara lelaki dan perempuan dan memakai pakaian yang tidak
menepati syarak. Kesilapan akan berterusan apabila ibu bapa menyerahkan
tugas mendidik anak kepada pembantu rumah yang tidak membesarkan mereka
dengan nilai-nilai Islam (jika dia tidak beragama Islam). Oleh itu, ibu
bapa harus memastikan anak benar-benar terdidik dengan didikan Islam
kerana hal inilah yang akan menentukan hala tuju kehidupan mereka kelak.
0 comments:
Post a Comment