Kajian UM : 80% Rakyat Pantai Barat Tidak Percaya Fitnah Terhadap Anwar
Kajian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati 80 peratus rakyat di negeri pantai barat tidak mempercayai kes-kes fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Pengarah UMCEDEL, Amer Saifude Ghazali berkata, negeri tersebut ialah Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
Jelas Amer, responden yang ditanya berkenaan fitnah terhadap Anwar, kebanyakan yang percaya hanya 20 peratus.
“80 peratus lagi tidak percaya langsung, mereka (responden) anggap ini sebagai satu perkara yang sengaja di ada-adakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta mengenai reputasi Anwar Ibrahim ketika satu Seminar PRU-13 ‘Memperkasakan Demokrasi’ anjuran Pusat Pengajian Sejarah dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bilik Senat, Dewan Canselor, UKM hari ini.
Dalam isu sama, Amer berkata, dakwaan yang mengatakan Anwar yang juga Ketua Pembangkang itu tidak berkaliber, tidak berpengaruh dan zamannya berakhir adalah sangat menghairankan.
“Saya hairan orang kata beliau tidak ada pengaruh, zaman beliau sudah berakhir, tidak berkaliber dan sebagainya, tapi mengapa serangan yang dilakukan kepada Anwar hampir setiap hari, dari satu kes ke satu kes.
“Tapi beliau (Anwar) tetap dapat memimpin, perkara ini yang perlu diberi perhatian disebalik serangan oleh pelbagai pihak kepada beliau,” katanya lagi. -selangorku
0 comments:
Post a Comment