BN Kelantan Akan Tonjolkan Calon Mantap Dan Diterima Rakyat - Mustapa Mohamed
KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) Kelantan akan menonjolkan barisan
calon mantap dan diterima rakyat pada pilihan raya umum kali ini, kata
Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, senarai calon yang kini di peringkat akhir saringan
memuatkan muka baru dan lama selain tokoh ulama yang mampu membawa
kemenangan kepada BN Kelantan.
"Kita buat yang terbaik, apa juga barisan calon yang kita tonjolkan
tentu ada pihak yang mempertikai. Namun bagi saya dan (Perdana Menteri)
Datuk Seri Najib Tun Razak, kita akan memastikan inilah barisan terbaik
dalam kalangan tokoh-tokoh yang ada di Kelantan," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Karnival Pengajian
Tinggi Negara 2013 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini
Sabtu.
Mengulas pertemuan beliau dengan Najib yang juga Presiden Umno di
Putrajaya pada Jumaat, Mustapa berkata, pertemuan seperti itu sudah
diadakan sejak enam bulan lepas bagi membincangkan perkara berkaitan
parti terutama senarai calon BN Kelantan.
Ditanya kenapa perdana menteri belum membubarkan Parlimen bagi memberi
laluan kepada pilihan raya, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, percaya Najib mahu hasil transformasi yang
dilaksanakan termasukdalam bidang politik, kerajaan dan ekonomi
benar-benar dirasai rakyat.
"Tiada kaitan dengan apa-apa desakan pembangkang, ini strategi Datuk
Seri Najib dalam memastikan rakyat melihat hasil kerja termasuk Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA),"
katanya.
Dalam pada itu, Mustapa tidak menolak kemungkinan banyak lagi majlis
peletakan batu asas bagi projek tertentu dilakukan kerajaan PAS
Kelantan, dan menyifatkannya tidak lebih daripada gimik politik
menjelang pilihan raya. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment