Powered by Blogger.

BMW Sokong Pengecualian Duti Kereta Hibrid

KUALA LUMPUR – Kumpulan BMW Malaysia mengalu-alukan usaha Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang mahukan kerajaan Malaysia melanjutkan Feed-In-Tariff (FIT) untuk kereta hibrid daripada dua kepada lima tahun.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Gerhard Pils berkata, pihaknya menyokong permintaan itu kerana insentif kereta FIT dan hibrid telah meningkatkan pembelian dan penggunaan kereta hibrid sebanyak 84 peratus pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.
“Lanjutan tempoh FIT itu akan membantu mengukuhkan lagi pertumbuhan segmen kereta hibrid dan akhirnya menyumbang kepada pelepasan karbon yang lebih rendah di negara ini,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini..
Media pada 29 Mac lalu melaporkan MAA sebagai berharap kerajaan dapat melanjutkan pengecualian duti ke atas kereta hibrid dan elektrik serta tempohnya seharusnya lebih panjang berbanding sebelum ini.
Pengecualian duti itu yang dilaksanakan untuk tempoh dua tahun akan berakhir tahun ini tetapi kerajaan masih belum membuat sebarang pengumuman baharu mengenainya.
Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad dipetik sebagai berkata, sejak kerajaan memperkenalkan pengecualian itu, pihaknya mendapati jualan kereta hibrid amat memberangsangkan.
Berdasarkan statistik oleh MAA, jualan kenderaan hibrid pada tahun 2010 berjumlah 332 buah, 8,334 buah pada 2011 dan 15,355 buah pada 2012.
Bagi tahun ini sehingga Februari lalu, sebanyak 2,130 buah kenderaan hibrid telah terjual. Jumlah itu lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu yang hanya berjumlah 864 buah.

0 comments:

Post a Comment

Followers