Powered by Blogger.

Muzium Kosong, Monorel Rosak dan Lapangan Terbang Sunyi Legasi Umno-BN Melaka


Monorel yang kerap kali rosak dan muzium kereta yang hanya ada tiga kereta proton. Itu lah keadaan dua projek pelancongan di Melaka yang diheboh-hebohkan oleh pimpinan Umno-BN negeri itu, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin.

Shamsul Iskandar juga mendakwa Lapangan terbang Antarabangsa Melaka (MIA) hanya digunakan oleh dua kapalterbang. Manakala taman haiwan purba “Jurassic Park” yang akan dibina dengan kos RM 200 juta dikhuatiri juga akan menjadi satu lagi projek gajah putih.

“Datuk Seri Ali Rustam nak buat taman haiwan ala Jurassic Park bernilai RM 200 juta. Sekarang hutang ditanggung kira-kira RM 800 juta.

“Apa kebaikan dan manfaat yang rakyat akan dapat? Rakyat bukan nak tengok sangat haiwan dinosaur ni,” katanya di dalam ceramah Pakatan Rakyat (PR) di Bukit Piatu, Melaka semalam .


Beliau menjelaskan PR tidak menolak pembangunan tetapi mahu setiap projek dirancang dan dilaksanakan untuk kebaikan rakyat.

Apa dipersoalkan, katanya, segala dijalankan Kerajaan Melaka setakat ini tidak membawa perkembangan positif tetapi lebih memberi kerugian negeri tersebut.

“Banyak projek yang mendatangkan kerugian. Projek monorel Ali Rustam kata bagus tetapi 27 kali rosak. Muzium kereta di Air Keroh pula hanya tiga kereta yang ada. Itupun kereta Proton,” dakwanya.

Pada 25 Februari lalu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengumumkan pembinaan taman “Jurassic Park” sebagai taman tarikan pelancong.

Mohd Ali berkata, taman itu akan mempamerkan 200 spesies dinosaur melalui kaedah hidrolik dan elektronik.

“Jurassic Park” itu akan dibina bersebelahan dengan sebuah lagi taman tema iaitu Melaka Sea World, membabitkan kawasan seluas 12.1 hektar yang akan dilaksanakan secara usahasama oleh Yayasan Melaka dan syarikat swasta, Eden Incorporation Berhad. -selangorku

0 comments:

Post a Comment

Followers