Powered by Blogger.

Awak ni funny lah UMNO



Saya suka menonton komedi. Ini penting supaya saya tidak terlalu tertekan memikirkan segala macam masalah ekonomi yang saban hari menggasir usia dan sumber-sumber yang saya ada. Kalau ada gunung pun boleh runtuh. Tuntutan kewangan saban hari menjadikan apa sahaja pendapatan yang saya perolehi tidak begitu bernilai.

Jadi saya suka komedi. Kerana komedi buat saya ketawa dan lupa sebentar tentang penderitaan poket dan dompet yang semakin merekah gersang tanpa aliran wang yang baik. Tidak ada ubat yang lebih baik daripada ketawa. Err.. Okay, mungkin ada. Tapi itu bukan pokok pangkal cerita hari ini.

Komedi yang baik selalunya memerlukan lawak jenaka yang nampak bersahaja. Itu yang membuatkan siri Friends begitu berjaya di seluruh dunia. Jenaka yang diperankan oleh sekawan manusia yang berdepan masalah-masalah harian itu dilakukan dengan penuh bersahaja. Tidak nampak dibuat-buat.

Namun pastilah ada komedi yang lebih baik dan lebih berjaya daripada siri Friends, yang hanya bertahan untuk sepuluh musim.

Apabila kerajaan Malaysia kelmarin mengumumkan bahawa tema Hari Merdeka tahun ini ialah ‘Janji Ditepati’, hancurlah reputasi Friends sebagai siri komedi yang baik. Dirampas takhtanya itu oleh Barisan Nasional, yang sudah pun berbuat lawak jenaka sejak puluhan tahun lampau. Pastinya melampaui sepuluh musim Friends.

Jenaka United Malays National Organisation dengan slogan ‘Janji Ditepati’ ini ialah jenaka tahap tinggi. Tanpa perlu berhujah tentang ‘Hari Merdeka bukan bapak dia punya hari jadi’, kita sendiri boleh menilai bahawa 31 Ogos bukan Hari UMNO, biar pun kita akui bahawa memang kita merdeka 10 tahun lewat berbanding orang lain yang bergegas merdeka sebaik tamat perang dunia.

Jadi ‘Janji Ditepati’… Hurmmm. Bila yang dia janjikan duit buat ganti tayar teksi?

Tapi tak apa. Kita ucap terima kasih kepada Perdana Menteri Najib Razak kerana berjaya meningkatkan jumlah keterhutangan nasional sehingga begitu hampir ke paras yang dibenarkan undang-undang. Kita semua pastinya akan lebih besar hati kalau Najib Razak boleh keluarkan wang simpanannya sendiri untuk ditabur kepada semua orang, tetapi kita tahu itu tidak akan terjadi.

Tetapi betulkah bantuan ini benar-benar membantu? Atau sekadar dibuat supaya nampak macam sedang buat sesuatu? Maka mudah nanti mengikat leher mereka yang dibantu supaya kekal menyembah takzim kepada Barisan Nasional?

Tidak, saya tidak mempersoalkan nawaitu, saya pasti Barisan Nasional ikhlas dan punya hati yang suci murni untuk membantu meningkatkan beban hutang negara yang akan ditanggung oleh anak cucu kita nanti.

Kemudian apa? Nganga tunggu bantuan spesis lain pula? Dulu BR1M. Sekarang bagi duit tukar tayar, (walau pun masalah sebenarnya ialah hak permit teksi, tapi tak apalah, kita kan dipaksa bersyukur juga) dah jadi TR1Ma.

0 comments:

Post a Comment

Followers